Archive for the ‘Akidah & Akhlak’ Category

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:” Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.”

Riwayat Muslim

Huraian

1. Terdapat tujuh dosa besar yang dilaknat oleh Allah SWT terhadap sesiapa yang melakukannya iaitu:

i. Syirik kepada Allah- iaitu mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain seperti mempercayai perkara-perkara khurafat, memuja hantu syaitan dan sebagainya.

ii. Sihir

iii. Membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar seperti untuk mempertahankan  diri atau menegakkan hukum Allah (menjalankan hukuman keadilan)

iv. Memakan harta anak yatim v. Memakan riba

vi. Lari dari medan pertempuran

vii. Menuduh perempuan yang suci melakukan zina.

2. Setiap mukmin hendaklah berusaha agar bebas dan selamat daripada melanggar hak saudaranya

apalagi hak anak-anak yatim yang diamanahkan untuk dijaga dengan baik. Seseorang yang telah

menghkianati amanah tersebut hendaklah ia mengembalikannya atau meminta untuk dihalalkan.

3. Orang yang telah melakukan dosa hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha dan meminta ampun kepada Allah kerana pintu taubat sentiasa terbuka sampai terbitnya matahari dari barat.

Dari Anas bin Mali r.a katanya, rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya Allah Taala sangat suka kepada hamba-Nya yang mengucapkan tahmid (alhamdulillah) sesudah makan dan minum.”

(Muslim)

Huraian

Di antara sifat orang beriman adalah ketika mendapat berbagai kenikmatan, dia bersyukur kepada Dzat yang telah memberikan nikmat tersebut iaitu Allah S.W.T. Memang erti syukur sendiri adalah memuji kepada Dzat yang telah memberikan berbagai kenikmatan dan kebaikan termasuk rezeki makanan dan minuman yang diambil setiap hari. Tetapi cukupkah dengan hanya memuji Allah S.W.T melalui lisan semata-mata? Sebenarnya ramai orang yang memuji Allah dengan lidah mereka ketika mendapatkan nikmat tetapi dalam masa yang sama mereka masih bergelumang dalam kemaksiatan kepada Allah. Syukur mempunyai syarat-syaratnya iaitu: Pertama; mengakui nikmat tersebut dengan hati; kedua: mengucapkannya dengan lisan iaitu mengucapkan ‘alhamdulillah’ ketig; menggunakan nikmat tersebut untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah S.W.T.

Kesimpulannya, syukur itu berkaitan dengan hati, lisan dan anggota badan. Kita hendaklah mengakui nikmat tersebut datangnya daripada Allah bukan daripada yang lain walaupun sebabnya datang melalui orang lain, urusan jual beli atau sebagainya tetapi semuanya itu hanyalah sebab atau perantara dalam mendapatkan nikmat dan hakikatnya yang memberikannya itu hanyalah Allah S.W.T. Oleh itu gunakanlah nikmat Allah ke jalan yang diredhainya bukan untuk perkara yang mendatangkan kemurkaan-Nya.

Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.”

(Muslim)

Huraian

Orang yang beriman sangat yakin akan rahmat dan pertolongan Allah S.W.T. Oleh itu mereka  tidak pernah berputus harap dari rahmat-Nya kerana kasih sayang Allah tidak bertepi. Antara syarat-syarat

untuk memperolehi rahmat Allah S.W.T sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Dailami dari Ibnu ‘Abbas r.a. Rasulullah bersabda yang bermaksud: ”

Allah S.W.T merahmati orang-orang yang dapat menjaga tutur katanya, mengenal masa (ketika dia hidup)

itu dan istiqamah dalam hidupnya.”

Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang aritnya :

“segerakanlah shalat shubuh sebelum terbit matahari, sebab disaat itulah

pengikut syaitan sedang keluar dari sarangnya. Ketika itu pula orang-orang kafir tengah bersujud kepada matahari.”

Riwayat Muslim

Huraian

i) Solat fardhu wajib dilaksanakan  dalam waktunya. Ia tidak boleh di tinggalkan sama sekali dalam apa jua keadaan sekali pun kerana meninggalkan solat termasuk dalam dosa-dosa besar sehinggakan dalam keadaan sakit yang tenat (teruk) sekali pun di mana jika hanya mata sahaja yang boleh bergerak maka solat wajib dilaksanakan juga iaitu dengan menggunakan isyarat mata..

ii) Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengerjakan solat di awal waktu kerana di akhirat kelak, perkara yang pertama sekali disoal oleh Allah S.W.T adalah mengenai solat. Jika sempurna solat seseorang itu maka sempurnalah amalan-amalannya yang lain.

iii) Seorang muslim yang taat tidak akan melewat-lewatkan solatnya. Contohnya bersolat Zohor apabila sudah hampir sampai waktu Asar, solat Maghrib menghampiri  waktu Isyak, solat Subuh ketika matahari sudah terbit (subuh gajah) tetapi berusaha memperbaiki solatnya agar menjadi lebih sempurna bukan sahaja dikerjakan dalam waktunya tetapi dikerjakan secara berjemaah sama ada di masjid atau surau dengan menjaga kekusyhukannya, bacaannya serta rukunnya dan mengambil wudhu’ secara sempurna. iv) Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Seandainya mereka tahu apa makna di dalamnya, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Muttafaqun Alaih)

rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang artinya :

” makanan untuk satu orang dicukupi untuk dua orang sedang makan untuk dua orang dicukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang dicukupi untuk delapan orang”. HR. Bukhari dan Muslim

Huraian

i) Setiap  Muslim hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya.

ii) Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain.

iii) Kekayaan  yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.

iv) Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa

mengucapkan  “alhamdulillah” di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.

v) Rezeki adalah ketentuan Allah S.W.T. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya,

harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan.

Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit.” Kata Hammad :”Kerana baunya harum seperti kasturi.” Kata penduduk langit “ Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ‘alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam.” Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman:”Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat.” Kata Abu Hurairah selanjutnya:” Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya – kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian-, maka berkata penduduk langit,”Roh jahat datang dari bumi.” Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat.”

(Muslim)

Huraian

Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman. Tanda-tandanya bukan sahaja dapat

dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah

S.W.T yang maksudnya:”Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang- orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, “Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar.” (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50). Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat. Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya  jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini. Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a., katanya:”Bersabda Muhammad s.a.w.:” Tiadakah takut orang yang mendahului imam mengangkatkan kepala sebelum imam, bahwa Allah akan mengubah kepalanya menjadi keldai?”

(Muslim

Huraian
Solat merupakan satu ibadah yang amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun ia tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, “Solat itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.” Malah batas antara iman dan kufur ialah solat. Melaksanakan solat mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan yang merupakan sebahagian daripada disiplin yang wajib dilaksanakan. Demikian juga solat turut membentuk disiplin pelakunya terutama jika kita solat berjamaah yang menuntut supaya menghormati imam (ketua) dan tidak boleh mendahului imam dalam setiap pergerakan. Oleh itu jika seseorang itu sentiasa menjaga disiplinnya dalam bersolat nescaya dia juga akan menjadi efisien di dalam pekerjaan yang dilakukannya.

Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Bersabda Rasulullah SAW: “ Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membai’at pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).”

(Muslim)

Huraian

Jujur dan telus adalah sifat yang datang dari dalam jiwa insan yang beriman. Orang-orang yang selalu mementingkan dirinya tidak akan memikirkan kepentingan orang lain sebaliknya akan sanggup berbuat apa sahaja asalkan hajatnya tercapai. Dalam hal ini kehidupan kita bukanlah bersandarkan kehendak hawa nafsu tetapi ia perlu kepada semangat kekitaan dan kasih sayang yang mengenepikan segala unsur peribadi yang menjadikan seseorang itu lupa diri dan lupa saudara. Seharusnya apa sahaja yang dilakukan hendaklah bermula dari niat yang betul dan ikhlas. Kedua-dua sifat tersebut menentukan sejauhmanakah kita bepegang pada prinsip walaupun di akhirnya kita terpaksa berkorban.

Hadith :

Dari Abdullah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Memaki orang Muslim adalah (fasiq) dan membunuhnya, kafir.”

(al-Bukhari)

Huraian

Orang yang memperhatikan keadaan manusia pada zaman ini akan dapat melihat betapa hebatnya kefasikan yang telah melanda kehidupan mereka. Ini disebabkan keadaan masing-masing sesama umat Islam tidak lagi memberi erti persaudaraan sebagaimana yang dituntut oleh agama sebaliknya mereka saling kutuk-mengutuk, memaki hamun dan ada pula yang sampai ke tahap sanggup membunuh. Lantas terjadilah perlanggaran hukum yang akhirnya mencacatkan nama baik Islam hingga Islam itu dipandang sebagai agama yang ganas dan bersifat keras. Sesungguhnya inilah perosak ummah yang menjadi duri dalam daging bagi seluruh umat Islam. Mereka hanya mengutamakan hawa nafsu dan kepentingan diri tanpa memikirkan akibat yang bakal ditanggung. Oleh itu setiap Muslim hendaklah memastikan apa jua tindakan yang dilakukannya itu tidak melanggar batasan syariat dan sekali-kali tidak menjadi fitnah pada agama kerana hal ini bukan sahaja mendatang dosa bahkan memporakperandakan kesejahteraan bersama.

Menjaga Hati

Posted: 5 Juni 2010 in Akidah & Akhlak
Tag:

Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang artinya :

“ketahuilah bahwa didalam jasad manusia itu terdapat seketul  daging (segumpal darah), jika ia baik maka baiklah seluruh anggota tubuhnya sedang jika buruk, maka buruklah seluruh anggota tubuhnya. sesungguhnya segumpal darah itu adalah hati”. HR. Bukhari dan Muslim

Huraian

i) Diri manusia terbahagi kepada dua iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual tersebut termasuklah akal, nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, prilaku dan sikap seseorang dipengaruhi oleh hati.

ii) Hati dan perasaan haruslah dijaga dari sifat-sifat yang merosakkan. Ia hendaklah dipandu ke arah jalan yang betul berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Jika tidak, hati akan dikuasai oleh nafsu dan syaitan yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti hasad dengki, tamak, pemarah, riya’ dan sebagainya. Maka untuk membersihkan hati yang kotor hendaklah membiasakan diri dengan berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah.